Friday, August 19, 2011

:: Kepentingan & Langkah memelihara hubungan baik antara pelbagai kaum di Malaysia ::

Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai kaum. Rakyatnya terdiri daripada Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah serta Sarawak dan lain-lain. Keadaan ini mewujudkan kelainan yang mampu memupuk semangat perpaduan yang harmoni dalam nmewujudkan negara yang seimbang. Bincangkan kepentingan dan langkah yang dilakukan untuk memelihara hubungan baik antara pelbagai kaum di Malaysia.

Malaysia terkenal dengan keunikannya yang mempunyai penduduk berbilang kaum serta hidup rukun damai sejak kemerdekaannya 54 tahun lalu. Inilah yang menjadi resepi dan pemangkin ke arah pencapaian kejayaan negara. Sebagai rakyat yang prihatin, di bahu kitalah tergalasnya tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian ini.

Di antara kepentingan memelihara perpaduan kaum ialah untuk mewujudkan suasana kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni. Semangat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain mampu mengelak sebarang perasaan negatif seperti hasad dengki, pentingkan diri sendiri dan lain-lain. Hubungan baik yang terjalin erat bukan sahaja menjadi asas kehidupan yang tenteram bahkan juga memakmurkan negara. Sebagai contoh, setelah melewati setengah abad negara Malaysia mencapai kemerdekaan, telah banyak perubahan positif yang berlaku. Malah negara malaysia juga sudah terkenal sebagai sebuah negara membangun.

Selain itu, kehidupan yang harmoni juga merupakan jambatan utama menuju kemajuan. Negara yang sejahtera membolehkan rakyatnya mengambil peluang meningkatkan taraf hidup. Semua pihak dapat berganding bahu memikul tugas masing-masing tanpa sebarang perasaan syak wasangka. Hasilnya, negara kita akan membangun dengan stabil merangkumi segenak aspek kehidupan. Pembangunan pesat negara kita setanding dengan negara-negara maju di dunia.

Menyedari kepentingan perpaduan kaum maka beberapa langkah yang efisien perlu dijalankan bagi mengekalkannya. Antara lain, kerajaan telah mewujudkan Sekolah Wawasan. Konsep sekolah wawasan ini adalah untuk memelihara perpaduan kaum yang dipupuk sejak awal lagi iaitu dalam kalangan kanak-kanak. Institusi pendidikan dengan corak perpaduan kaum ini membantu masyarakat untuk saling mengenali dan menghormati kebudayaan serta adat resam kaum-kaum yang lain. Hal ini secara tuntasnya menjamin kestabilan negara dengan adanya hubungan yang erat di antara kaum.

Selain itu, kemakmuran negara yang wujud dengan resepi perpaduan ini juga adalah hasil daripada matlamat misi dan visi negara. Sebagai contoh, kerajaan melancarkan Dasar Ekonomi baru dan Wawasan 2020. Cetusan visi para pemimpin ini menyemarakkan lagi usaha mengekalkan perpaduan kaum. Ini jelas dibuktikan dengan konsep keadilan dari segi memperolehi kekayaan. Semua kaum berpeluang menceburi bidang ekonomi mengikut kemahiran dan usaha masing-masing. Kesannya, kestabilan dari segi ekonomi turut memperkembangkan kemajuan negara sehingga menjadi contoh kepada negara jiran iaitu Indonesia.

Kesimpulannya, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara itu amat bergantung pada hubungan baik yang terjalin antara masyarakat. Perumpaan; ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ begitu sinonim dengan usaha mengekalkan perpaduan kaum demi kesejahteraan hidup.


0 comments:

Post a Comment