Friday, August 19, 2011

:: Kepentingan & Usaha wujudkan perpaduan dalam masyarakat majmuk ::



Kelahiran pelbagai masyarakat majmuk di Malaysia telah membentuk satu sikap perkauman antara kaum demi menjaga kepentingan masing-masing. Hal ini sekaligus dilihat mampu menggugat keharmonian dan perpaduan yang terjalin sekian lama antara kaum di Malaysia. Bincangkan kepentingan dan usaha yang dilakukan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

Pembentukan masyarakat majmuk yang harmonis merupakan agenda kerajaan yang paling penting kerana prasangka perkauman boleh menghancurkan perpaduan yang sedia wujud. Menyedari hakikat dan kepentingan mengekalkan perpaduan maka pelbagai langkah perlu dijalankan bagi memastikannya berterusan.

Antara kepentingan mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk ialah untuk mengekalkan keharmonian dan mengelakkan perselisihan. Penduduk Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa boleh hidup aman damai sejak dahulu lagi kerana adanya perasaan saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. Amalan nilai murni ini menjadi tunjang kekuatan sesebuah negara. Perkara ini dapat mengelak berlakunya perselisihan seperti kejadian dalam sejarah hitam negara iaitu peristiwa 13 Mei 1959. Rusuhan kaum yang berlaku tidak memberi apa-apa keuntungan malah membawa banyak kemudaratan.

Perpaduan kaum yang wujud juga turut mempercepat dan memperkasa pembangunan negara. Rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap bertoleransi dan hidup bersatu-padu memangkinkan usaha memajukan negara dalam segenap aspek merangkumi ekonomi, sosial, politik dan pendidikan. Pembangunan pesat yang jelas kelihatan pada hari ini membantu masyarakat menjalani kehidupan seharian dengan selesa. Sebaliknya, jika keharmonian kaum terancam maka amat sukarlah kerajaan mengatur agenda mencapai kemajuan negara. Kesannya negara akan ketinggalan dan rakyat menderita kemiskinan.

Bagi merealisasikan kejayaan negara dengan ramuan perpaduan kaum ini,

maka bagai usaha ke arahnya hendaklah terus dijalankan. Antara lain, kerajaan mewujudkan banyak dasar bertujuan menerapkan nilai-nilai bagi mengekalkan perpaduan kaum. Terkini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan konsep ‘1 Malaysia’. Dasar kepimpinan yang memperkenalkan konsep “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” memperlihatkan keutamaan masyarakat dalam pencapaian sesebuah negara. Tanpa rakyat yang bersatu padu maka pincanglah negara itu.

Selain itu, segenap lapisan masyarakat juga berperanan menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk memelihara perpaduan. Media massa sebagai medium komunikasi menjadi saluran maklumat dan membangkitkan semangat bersatu-padu. Memperbanyakkan iklan dan risalah melalui kempen-kempen mencintai negara dapat menyedarkan masyarakat tentang peri pentingnya menjaga keharmonian hidup sesama rakyat. Semua ini dapat dikongsi bersama-sama dengan adanya alat komunikasi media massa seperti televisyen, radio mahupun internet. Kemudahan yang kita nikmati sekarang ini adalah bukti nyata hasil kemajuan negara.

Kesimpulannya, kemakmuran negara berkait rapat dengan hubungan baik antara kaum yang sama-sama mendokong usaha ini. Hubungan baik inilah yang perlu diamalkan bila-bila masa dan selamanya agar kejayaan yang kita nikmati kini tidak ranap begitu sahaja setelah hampir 54 tahun negara kita mencapai kemerdekaan.


0 comments:

Post a Comment