Monday, August 22, 2011

:: Ketidaksamaan Gender ::


Masalah ketidaksamaan gender telah menjadi isu yang serius sehingga membawa kepada gerakan-gerakan feminisme . Bincangkan faktor-faktor berlakunya ketidaksamaan gender dan kesannya kepada kaum wanita.

Ketidaksamaan gender bermaksud perbezaan di antara kaum lelaki dan perempuan berdasarkan jantina. Ketidaksamaan ini lebih berfokus kepada kaum wanita, di mana kaum wanita dibezakan dengan kaum lelaki terutamanya dalam bidang pendidikan, peluang pekerjaan dan hak-hak dalam keluarga sehingga membawa kepada gerakan-gerakan feminisme. Terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya ketidaksamaan gender sehingga memberi kesan kepada kaum wanita.

Antara faktor-faktor berlakunya ketidaksamaan gender adalah disebabkan oleh adat dan budaya yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat. Sejak azali lagi kaum wanita sentiasa dipandang rendah. Wanita sentiasa dipinggirkan hak-hak dalam masyarakat. Sebagai contoh amalan Sati yang diamalkan di India di mana setiap balu akan dibakar bersama mayat suaminya. Disebabkan amalan ini, hak-hak wanita telah dinafikan dalam masyarakat India.

Selain itu, sifat semula jadi wanita juga adalah faktor ketidaksamaan gender. Wanita sering dikaitkan dengan sifat fizikal yang lemah dan sopan-santun. Hal ini menyebabkan wanita sering ditindas oleh kaum lelaki. Sebagai contoh, berlakunya kes-kes kahwin paksa di mana seorang bapa yang berkuasa dalam keluarga dan tidak memberi peluang kepada anak perempuan dalam membuat keputusan.

Kesan ketidaksamaan gender boleh dilihat dari segi pendidikan kaum wanita. Ibu bapa memberi layanan yang berbeza terhadap anak lelaki dan anak perempuan. Anak lelaki dihantar ke sekolah manakala anak perempuan berada di rumah menjalankan kerja-kerja rumah. Hal ini menyebabkan wanita kurang mendapat pendidikan berbanding lelaki. Contohnya, wanita mencatatkan kadar buta huruf paling tinggi berbanding lelaki seperti di Bangladesh.

Selain itu, antara kesan lain ialah berlakunya penderaan fizikal dan mental ke atas wanita. Sifat wanita yang lemah menyebabkan lelaki lebih suka wanita berada di bawah penguasaannya. Kaum lelaki sering bertindak sesuka hati dan menjadikan wanita sebagai tempat melepaskan geram. Sebagai contoh wanita sering menjadi mangsa rogol, penderaan seksual dan sebagai tempat melepaskan nafsu semata-mata.

Sebagai kesimpulannya, ketidaksamaan gender perlu dihapuskan bagi memelihara hak-hak antara kaum lelaki dan wanita. Pihak kerajaan dan badan-badan NGO berperanan dalam menghapuskan penindasan ke atas kaum wanita. Kaum wanita perlu mendapat kedudukan yang sama seperti kaum lelaki.


0 comments:

Post a Comment