Monday, July 4, 2011

P.AM _ K2 _ BAH. D _ GRAF BAR KOMPAUN

*** just untuk perKONGSIan bersama ***

LATIHAN 1

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan graf bar yang sesuai untuk menunjukkan jumlah pekerjaan yang ditawarkan oleh enam kumpulan pekerjaan pada tahun 1985 dan 1995 di Malaysia.

Enam pekerjaan yang terpenting di Malaysia iaitu kumpulan ikhtisas dan teknikal, pentadbiran, pengurusan dan perkeranian, penjualan, pertanian, pengeluaran dan perkhidmatan telah menawarkan sejumlah 3394200 peluang pekerjaan pada tahun 1985 dan jumlah itu meningkat kepada 5093500 peluang pekerjaan pada tahun 1995. Antara keenam-enam sektor pekerjaan itu, sektor pertanian menawarkan jumlah pekerjaan yang paling banyak iaitu berjumlah 1641600 pada tahun 1985 dan bertambah sebanyak 337400 pada tahun 1995. Sektor yang juga menunjukkan kemampuan menawarkan peluang pekerjaan yang tinggi selepas sektor pertanian iailah kumpulan pekerjaan pengeluaran. Sektor ini menawarkan pekerjaan sebanyak 1566800 pada tahun 1995 bertambah sebanyak 710600 berbanding dengan tahun 1985. Bidang penjualan pula menawarkan sebanyak 283900 pekerjaan pada tahun 1985 dan meningkat kepada 481900 pada tahun 1995. Peratus pertambahan penawaran pekerjaan bagi sektor ini dalam jangka masa yang dinyatakan itu ialah lebih kurang 70%.

Sektor perkhidmatan pula mampu menawarkan sejumlah 447600 peluang pekerjaan pada tahun 1995 berbanding dengan 252300 pekerjaan 10 tahun sebelumnya manakala kumpulan pekerjaan pentadbiran, pengurusan dan perkeranian pula menawarkan sebanyak 203200 peluang pekerjaan pada tahun 1985 dan meningkat sebanyak 136700 pada tahun 1995. Sektor yang paling kurang menawarkan peluang pekerjaan berbanding sektor-sektor lain ialah kumpulan pekerjaan ikhtisas dan teknikal. Sektor ini menawarkan sebanyak 278300 pekerjaan pada tahun 1995 bertambah sebanyak 121300 berbanding pada tahun 1985.

(Dipetik dan disesuaikan daripada Laporan Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-6).


LATIHAN 2

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan graf bar yang sesuai untuk menunjukkan kadar pertumbuhan ekonomi di pelbagai sektor di Malaysia.

Pada tahun 2001, semua sektor ekonomi dijangka mengalami pertumbuhan positif dengan sektor perkilangan terus mencatatkan pertumbuhan, iaitu pada kadar 12% berbanding dengan kadar pertumbuhan pada tahun 2000, iaitu sebanyak 17%. Meskipun terdapat kebimbangan bahawa pertumbuhan industri berorientasikan eksport mungkin berkurang berikutan ekonomi Amerika Syarikat yang mengalami kemelesetan dan penjualan komputer peribadi yang berkurangan, pengeluaran industri berorientasikan eksport Malaysia dijangka masih mampu berkembang pada kadar 12.3%. Di samping itu, sebahagian daripada pelaburan baru dan pengembangan kapasiti di sektor elektronik yang dijangka mula beroperasi pada tahun ini akan merangsang pengeluaran industri berorientasikan dalam negeri dengan peningkatan sebanyak 11%.


Sektor pembinaan dijangka berkembang dengan lebih kukuh pada kadar 5.5% berbanding dengan 3.1% pada tahun 2000. Perkembangan sektor ini adalah berdasarkan pelaburan sektor swasta dalam projek penswastaan dan peruntukan belanjawan untuk kemudahan social yang lebih tinggi. Pertumbuhan yang mapan dan pendapatan yang meningkat dijangka terus menggalakkan permintaan dan pertumbuhan aktiviti pembinaan. Sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar adalah besar, bagaimanapun dianggarkan kekal pada kadar 3.4%.


Satu lagi sektor ekonomi yang diramal berkembang dengan perlahan ialah sektor perlombongan yang dijangka mencatat pertumbuhan 1.7%. Pada tahun 2000, sektor ini berkembang pada kadar 0.6% sahaja. Permintaan terhadap gas asli yang meningkat menyebabkan pengeluaran gas asli bertambah kepada 4384 juta kaki padu standard sehari (jkps/h) berbanding dengan pengeluaran pada tahun 2000, iaitu 3882 jkps/h. Pengeluaran minyak mentah dijangka berkurang berdasarkan sasaran pengeluaran yang ditetapkan. Begitu juga dengan pengeluaran timah.


Sektor pertanian, penternakan, perhutanan, dan perikanan diramalkan berkembang sebanyak 1.8% pada tahun ini berbanding dengan kadar pertumbuhan pada tahun 2000, iaitu 0.5%. Pengeluaran sektor ini dijangka meningkat kepada RM18 493 juta berbanding dengan pengeluaran pada tahun 2000 yang bernilai RM 18166 juta.


Memandangkan kegiatan ekonomi yang lebih tinggi, nilai ditambah sektor perkhidmatan yang diterajui oleh sektor kecil pengangkutan, penyimpanan, dan perhubungan serta sektor kecil kewangan, insurans, hartanah, dan perkhidmatan perniagaan dijangka mencatatkan pertumbuhan mapan sebanyak 5.2% berbanding dengan tahun 2000, iaitu hanya 4.9%.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Kementerian Kewangan Malaysia, Laporan Ekonomi 2000-2001)


0 comments:

Post a Comment